Dasar Kandungan TikTok Shop

TikTok Shop mengutamakan pengalaman membeli-belah yang asli, kreatif dan menarik kepada pengguna. Untuk mengekalkan kepercayaan dan kualiti, semua kandungan yang mempromosikan produk mestilah tepat, berguna dan dapat disahkan. Garis panduan ini terpakai untuk semua jenis kandungan yang dicipta oleh pengguna di TikTok Shop (selepas ini dirujuk sebagai “platform”).

Sekatan terhadap produk yang boleh anda promosikan

Produk Dilarang dan Tidak Disokong

Semua produk yang dipaparkan atau ditampilkan dalam semua kandungan mestilah mematuhi semua undang-undang, peraturan tempatan dan Garis Panduan Komuniti TikTok kami. Selain itu, sebarang kandungan yang menampilkan atau mempromosikan mana-mana Produk Dilarang atau Tidak Disokong adalah tidak dibenarkan sama sekali. Contoh lazim termasuklah:
  • Ubat Preskripsi dan Produk Perangsang Seksual
  • Produk berbahaya dan berisiko, termasuk senjata api dan senjata
  • Tembakau dan dadah
Sila klik di sini untuk mendapatkan senarai penuh Produk Dilarang dan Tidak Disokong.

Produk Terhad

Pengguna dilarang daripada mempromosikan sebarang kandungan yang berkaitan dengan Produk Terhad, jika penjual tidak menerima kelulusan untuk berbuat demikian. Produk terhad yang tertentu hanya boleh dipromosikan dengan kelulusan tambahan.
Sila klik di sini untuk mengetahui lebih lanjut.

Susu Formula Pertumbuhan dan Bayi (Dilarang)

Pengguna dilarang daripada memuat naik kandungan yang mempromosikan produk berikut:
  • Susu formula bayi (0-12 bulan)
  • Susu formula susulan (6 bulan - 3 tahun)

Peranti Perubatan (Terhad)

Peranti Perubatan tidak boleh dipromosikan melalui video pendek dan/atau siaran langsung tanpa kelulusan iklan terlebih dahulu daripada Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) Malaysia.

Sekatan terhadap cara anda mempromosikan produk anda

Kandungan yang Menyalahi Undang-undang dan Diselia

Aktiviti yang Menyalahi Undang-undang atau Jenayah

Kami melarang semua kandungan yang mengandungi atau mempromosikan sebarang bentuk aktiviti yang menyalahi undang-undang atau jenayah. Kandungan akan dialih keluar daripada platform jika kandungan tersebut melanggar mana-mana undang-undang atau peraturan rantau.
Sila klik di sini untuk mengetahui lebih lanjut.

Pelanggaran Hak Harta Intelek

Kami melarang kandungan yang melanggar, membolehkan atau menggalakkan pelanggaran hak harta intelek atau hak peribadi. Hal ini termasuk penggunaan jenama, logo atau nama dan imej individu untuk tujuan komersial tanpa kebenaran mereka.
Sila klik di sini untuk mengetahui lebih lanjut.

Kandungan Perjudian

Kami sekeras-kerasnya melarang perjudian, teknik gamifikasi dan aktiviti berasaskan permainan yang lain yang mengandungi unsur peluang untuk memastikan pengalaman membeli-belah yang telus dan asli. Sesetengah unsur gamifikasi berasaskan peluang boleh dilaksanakan hanya semasa menggunakan Alat Pemberian LIVE.
Sila klik di sini untuk mengetahui lebih lanjut.

Integriti dan Ketulenan

Kandungan yang Mengelirukan atau Palsu

Kandungan yang Dijana oleh Kecerdasan Buatan (AIGC)

Kandungan Dijana oleh Kederdasan Buatan (AIGC) - imej, video atau audio - hanya dibenarkan di TikTok Shop apabila ia mematuhi Garis Panduan Komuniti TikTok dan Dasar Kandungan TikTok Shop ini. Pencipta mesti menggunakan label AIGC mengikut keperluan yang dinyatakan dalam Garis Panduan Komuniti TikTok dan di bawah dasar dan undang-undang yang berkenaan. Sebarang kandungan (termasuk AIGC) yang mengelirukan, memperdaya atau menyamar sebagai orang lain adalah dilarang di platform.

Lelongan dan Manipulasi Harga

ktiviti berasaskan lelongan adalah dilarang pada platform. Aktiviti ini termasuklah tetapi tidak terhad kepada pembidaan, penawaran atau pencarian bida dan/atau sebarang tingkah laku alternatif yang serupa. Tindakan mengarahkan pengguna kepada sebarang aktiviti lelongan pada platform luaran atau pihak ketiga adalah dilarang.
Sila klik di sini untuk mengetahui lebih lanjut.

Interaksi Buatan, Spam dan Amalan Interaksi Tidak Tulen yang Lain

Kandungan termasuk sebarang bentuk spam atau penipuan dalam profil pengguna, komen atau sesi sembang adalah dilarang. Pengguna tidak boleh terlibat dalam aktiviti tidak tulen yang memanipulasi atau meningkatkan bilangan pesanan, tontonan, suka, komen, ikut dan/atau ulasan atau penilaian positif pelanggan secara buatan.
Sila klik di sini untuk mengetahui lebih lanjut.

Hadiah dan Insentif Berasaskan Pembelian

Menjalankan pemberian 'Hadiah' dan menawarkan 'Insentif Berasaskan Pembelian' adalah dilarang melainkan alat promosi TikTok Shop yang rasmi digunakan. Apabila menggunakan alat ini, pengguna mestilah memenuhi kriteria khusus untuk memastikan aktiviti ini adalah adil dan telus untuk semua pelanggan yang mengambil bahagian.
Sila klik di sini untuk mengetahui lebih lanjut.

Pengubahan Hala Trafik Pengguna

Kami tidak dapat menjamin keselamatan atau sekuriti transaksi yang dijalankan pada luar platform. Kami melarang kandungan yang mengubah hala pengguna secara luaran, termasuk pautan, nombor telefon, nama pengguna media sosial, alamat e-mel, kod QR atau tindakan luar platform yang lain.
Sila klik di sini untuk mengetahui lebih lanjut.

Penyiaran Serentak dan Penyiaran Berbilang

Kami melarang siaran langsung pada berbilang platform atau akaun secara serentak untuk mengekalkan kualiti platform dan melindungi pengalaman pengguna. Pengguna tidak dilarang daripada membuat penstriman atau membuat siaran langsung pada platform lain tetapi hendaklah mengelakkan diri daripada berbuat demikian secara serentak.

Kandungan Berkualiti Rendah

Kami melarang kandungan yang diperoleh daripada pengguna, platform atau bahan berhak cipta lain serta kandungan yang tidak dirakam dalam masa nyata.
Sila klik yang berikut untuk mengetahui lebih lanjut:

Kandungan Tidak Asli

Kandungan dianggap tidak asli jika pengguna tidak menambah pengeditan baru atau kreatif pada mana-mana media yang diimport atau dimuat naik. Media yang diimport termasuk media yang dimuat naik kepada platform kami yang telah dikongsi sebelum ini dalam TikTok, serta media daripada platform media sosial atau sumber lain termasuk televisyen, filem atau siaran web.
Klik di sini untuk mengetahui lebih lanjut.

Kandungan Promosi Tidak Relevan

Ini berlaku apabila kandungan tidak mempromosikan produk yang disenaraikan dengan jelas. Kandungan mungkin memaparkan item berbeza, gagal memaparkan atau menyebut produk tersebut atau melibatkan aktiviti yang tidak berkaitan tanpa niat komersial, seperti berbual atau bermain permainan tanpa memperkenalkan produk yang dijual.
Klik di sini untuk mengetahui lebih lanjut.

Kandungan Tidak Interaktif

Kandungan Tidak Interaktif ialah bentuk kandungan berkualiti rendah yang tidak mempunyai aktiviti bermakna pada skrin (cth. kebanyakannya imej pegun atau pemandangan statik) atau tiada interaksi lisan masa nyata yang berterusan dengan penonton.
Klik di sini untuk mengetahui lebih lanjut.

Kandungan yang Mempromosikan Penyenaraian Rekaan

Pencipta dilarang mempromosikan penyenaraian rekaan. Ini termasuk produk yang tidak mempunyai fungsi realistik, kegunaan praktikal, atau niat sebenar untuk dijual sebagai barangan yang sah, seperti item jenaka, produk meme, barang yang mustahil atau penyenaraian yang melibatkan penjualan manusia atau hubungan.
Contoh promosi penyenaraian rekaan termasuk tetapi tidak terhad kepada:
  • Mempromosikan barangan tidak wujud, mustahil, atau tidak bermakna yang disenaraikan semata-mata sebagai jenaka
    • Contoh: "Beli Telefon halimunan ini", "UFO dari angkasa lepas untuk dijual", "Kasut antigraviti ajaib"
  • Mempromosikan penyenaraian yang melibatkan penjualan manusia atau hubungan manusia, yang dilarang sama sekali dan berbahaya
    • Contoh: "Sewa teman lelaki", "Ambil anak angkat", "Pesan pengantin perempuan"
  • Mempromosikan objek yang disiarkan sebagai aksi sensasi, meme atau kandungan komedi yang tidak mempunyai kegunaan praktikal atau nilai sebenar
    • Contoh: "Beli Pakaian anti-angin yang diperbuat daripada beg plastik ini", "Cawan kertas yang dijual pada harga RM9,999", "Udara untuk dijual"

Kandungan yang Berbahaya dan Sensitif

Kandungan yang Ditujukan kepada Kanak-kanak Bawah Umur

Pengguna boleh menampilkan produk untuk kanak-kanak bawah umur, seperti mainan atau pakaian, tetapi tidak boleh menyasarkan kandungan atau promosi kepada kanak-kanak bawah umur, seperti yang ditakrifkan oleh peraturan tempatan. Kandungan yang menampilkan kanak-kanak bawah umur 18 tahun yang mempromosikan atau mewakili produk adalah dilarang melainkan ditemani oleh orang dewasa.
Sila klik di sini untuk mengetahui lebih lanjut.

Kandungan Seksual

Kandungan yang menampilkan tingkah laku atau bahasa berunsur seksual dalam promosi produk, termasuk yang melibatkan watak atau objek digital, adalah dilarang.
Sila klik di sini untuk mengetahui lebih lanjut.

Kandungan Pengurusan Berat Badan

Kami melarang penjualan produk pengurusan berat badan atau dakwaan bahawa produk, apabila menggunakan produk itu semata-mata, boleh menurunkan atau menambahkan berat badan. Produk pengurusan berat badan ditakrifkan sebagai mana-mana produk yang direka bentuk untuk membantu orang mengawal atau mengawal atur berat mereka. Walau bagaimanapun, dakwaan pengurusan berat badan dibenarkan untuk produk yang menggalakkan gaya hidup sihat, seperti peralatan kecergasan atau bahan pendidikan.
Sila klik di sini untuk mengetahui lebih lanjut.

Kandungan Sensasi atau Mengejutkan

Kandungan yang berbentuk grafik, menyinggung perasaan atau berbahaya adalah dilarang sama sekali. Hal ini termasuk promosi simpati, gambaran keganasan, diskriminasi, tingkah laku berbahaya atau pernyataan berunsur fitnah yang boleh menjejaskan kepercayaan dan integriti TikTok Shop.
Sila klik di sini untuk mengetahui lebih lanjut.

Kandungan Politik

Kami melarang kandungan TikTok Shop yang mengandungi rujukan politik. Hal ini boleh merangkumi gambaran pelaku politik, bahan kempen pilihan raya atau perbincangan tentang hasil pilihan raya, kerajaan atau isu politik. Pengecualian diberikan untuk kandungan dengan kepentingan khidmat awam tertakluk pada budi bicara platform.

Peristiwa Sensitif

Peristiwa Sensitif merujuk kepada situasi yang tidak dijangka atau sedang berkembang yang boleh menjejaskan keupayaan kami untuk mengekalkan persekitaran yang selamat dan boleh dipercayai. Ini mungkin termasuk, tetapi tidak terhad kepada, kecemasan awam, bencana alam, krisis kesihatan awam, tindakan keganasan atau insiden keganasan berskala besar.
Apabila Peristiwa Sensitif berlaku, TikTok Shop boleh menurunkan atau mengehadkan kandungan yang bertujuan untuk mengeksploitasi atau menyokong situasi tersebut, termasuk kandungan yang digunakan untuk mendorong interaksi atau menjana keuntungan daripada peristiwa tersebut.

Apakah perkara yang akan berlaku jika saya melanggar garis panduan ini?

Jika anda didapati melanggar garis panduan ini, akaun anda mungkin akan dikenakan tindakan penguatkuasaan. Kesalahan berulang akan menyebabkan penalti yang lebih berat. Untuk mendapatkan maklumat, rujuk Panduan Penilaian Prestasi Pencipta TikTok Shop dan Terma Perkhidmatan Pencipta.
Jika anda percaya bahawa tindakan penguatkuasaan yang dikenakan terhadap anda dibuat secara salah, sila buat rayuan melalui Aplikasi TikTok. Sila baca Garis Panduan Rayuan Pencipta dan Dasar Penilaian Prestasi Pencipta kami untuk mendapatkan maklumat lanjut.